31 Disember 2011- Menikmati hari terakhir tahun 2011. Saya dan isteri keluar rumah seawal 7.00 pagi menuju ke Bangi. Antara agenda utama ialah menghadiri bengkel 3 jam-‘Subhanallah Effect’. Bersarapan bersama Tn. Fazrul Ismail yang juga pembentang modul Subhanallah Effect mejadikan sarapan pagi itu terisi perut dan jiwa.
3 jam bengkel hanyalah asas modul tentang idea Subhanallah Effect. Seperti tajuknya, ini ialah usaha untuk membantu manusia kembali menyelongkar ‘ruh’ ungkapan ‘Subhanallah’. Acapkali kita melafazkannya dengan lafaz yang kosong. 10 kali, 33 kali, 100 kali, berapa banyak pun kita melafazkannya, jiwa tak tersentuh, hati tak terusik. Ia hanya menjadi makanan lidah tanpa cernaan hati.
Berlainan pula apabila deria kita menikmati sesuatu yang indah, hebat, mengagumkan. Acapkali hati dan lidah kita seia mendahulukan lafaz “Perghhh..!, Wow...!, Fulamak..!” dan sebagainya. ‘Ranggi’ bunyinya walaupun tanpa makna. Dalam keadaan ini, di mana lafaz “Subhanallah”? Senario ini menggambarkan betapa hati kita kurang ataupun tidak bersama Allah. Tidak selalu hati kita memilih untuk menyandarkan perkara yang indah, hebat dan mengagumkan kepada Allah.
Perkara yang benar-benar mengusik benak fikiran saya ialah apabila trend ‘iman’ manusia kini ialah menunggu perkara aneh dan gempar untuk kembali menjadikan iman sebagai perkara yang akan dinilai semula. Perlukan cerita wali-wali yang gempar, cerita mayat bertukar menjadi khinzir, gambar kisah anak derhaka dibalun di dalam kubur, ikan bercorak kalimah ‘Allah’, awan berarak dengan formasi ‘Allah’, pokok sujud ke arah kiblat, dan segala macam ‘mukjizat’ alam, barulah iman terjentik. Bagaimana perihalnya dengan rutin alam dan tebaran sunnatullah yang memenuhi ruang alam dan masa?
“For those who asked for signs, have We not shown you enough already? Look around you, look at the sun, look at water, these are the signs for the people of knowledge”
-Al-Quran-
Subhanallah...
Ini hanya sebahagian kecil dari mukaddimah. Selebihnya, anda dijemput ke bengkel tersebut. Terdapat modul, aktiviti ringkas, dan dinamika yang menarik sesuai dengan pelbagai latar belakang dan peringkat umur. Saya mendoakan Allah memberkati usaha Tn. Fazrul Ismail. Semoga tahun 2012 menjadi tahun yang bermakna buat kita semua. Tidak di dunia, mudah-mudahan di sana.
No comments:
Post a Comment