Thursday, December 29, 2011

Apabila Hobi Menjadi Kerja


Jika hobi anda ialah memancing, adakah anda rasa tertekan jika anda perlu memancing sehingga pukul 3.00 pagi? Jika hobi anda melukis, adakah melukis sebelum tidur itu suatu tekanan? Jika hobi anda membaca, adakah perpustakaan itu tempat yang membosankan bagi anda? Dengan kadar sederhana, setiap dari kita pasti bersepakat bahawa mereka tiada masalah dengan apa yang mereka lakukan. Kerana apabila bercakap tentang hobi, tiada istilah overtime (OT), working hours, atau tuntutan (claim). OT dan working hours tidak didefinisikan, bahkan claim itu dianggap laburan (investment).

Sesetengah manusia pula mungkin memandang pekerjaan mereka sebagai tuntutan. Tak minat, tapi terus bekerja atas rasa tanggungjawab. Sudah belajar bidang kedoktoran hingga jika terfikir ingin menukar professi, ia merupakan kezaliman dan ‘pengkhianatan’ terhadap ilmu yang dipelajari bertahun-tahun. Redha walaupun semakin sedar diri sendiri tidak minat bekerja sebagai doktor. Begitu juga konflik yang berlaku di kalangan pelajar kejuruteraan, pengajian Islam, sains sukan dan sebagainya. Namun, mereka masih boleh mengutip motivasi dari berbagai sumber untuk mengekalkan prestasi dan meningkatkan minat. Apakah yang lebih teruk?

Lebih teruk apabila segolongan manusia yang lain bekerja tanpa ada minat, tanpa rasa ia merupakan tuntutan, bahkan sekadar ulang alik ke tempat kerja dengan perasaan yang kosong. Rutinnya aimless. Biasanya faktor pendesaknya ialah wang atau nilai fizikal yang lain. Jarang ada cabaran dalam pekerjaan. Mungkin suasana kerjanya warna warni tetapi kebanyakan warnanya ialah kelabu dan gelap. Terlalu kurang unsur motivasi internal. Teruk juga saya mencirikan dunia kategori ketiga ini. Namun, gaya kerja begini wujud merata-rata. Saya percaya, wujud kategori yang keempat, kelima dan seterusnya. Teori rambang saya ini hanya terbina atas pengalaman yang terlalu kerdil. Cuma menarik dibincangkan apabila saya melihat perkara ini berlaku secara konsisten dalam dunia pekerja.

Orang yang berjaya menjadikan kerja itu hobi biasanya boleh bekerja tanpa limit masa tertentu, tempat tertentu, dan kayu ukur tertentu. Seorang kartunis, yang memang minatnya melukis tiada masalah untuk melukis bila-bila masa yang dia kehendaki, bahkan melukis di kedai kopi pun boleh menjadi. Kerjanya akan jauh lebih efisyen apabila minat (emosi), bakat atau kepakaran (intelek), berinteraksi dengan wang (fizikal) dengan nada harmoni. Semuanya menjadi modal motivasi untuk kartunis itu bekerja dengan cemerlang.  Bahkan kartunis tersebut sanggup belajar lebih untuk meningkatkan mutu, kualiti dan persembahan hasil seninya. Adobe Photoshop, Adobe Illustrator, dan berbagai perisian grafik ialah salah satu ruang improvement yang akan menjadi ‘permainan’ mereka.

Apabila manusia semakin berfikir nilai-nilai ini, manusia semakin bersifat ‘memberontak’ terhadap sesuatu yang mengongkong salah satu elemen tersebut. Bayangkan kerjaya kartunis hanya boleh dilakukan batasan waktu tertentu sahaja. Elemen emosi (E) akan terjejas. Bagaimana pula jika kartunis itu dibayar secara tetap sebanyak RM1500 sebulan sedangkan dia mampu peroleh jauh lebih banyak dengan kadar usahanya? Eleman fizikal (P) akan terjejas. Atau bagaimana jika dia menjadi kartunis bukan kerana kepakaran atau bakatnya? Elemen yang terjejas dari awal lagi ialah elemen intelek (I). Sedar tak sedar, elemen yang menjadi tunjang kepada semua ini ialah elemen rohani (S).

Suasana budaya kerja yang kondusif perlu dibina dengan cermat supaya semua nilai dalam elemen-elemen boleh berfungsi dengan optimum. Kenali potensi diri, berfikir hala tuju umur dunia, sentiasalah ingat status hamba kita untuk martabat hidup yang lebih mulia di ‘sana’.

Thursday, December 15, 2011

Program Motivasi Al-Quran (MAQ)

Mengajar memang minat saya. Oleh itu saya pernah membuat keputusan untuk  menjadikan ‘pensyarah’ sebagai karier saya. Namun, saya sedar bahawa laluan saya ke arah itu terlalu sukar. Hampir semua peluang yang ada, saya usahakan sebaiknya dalam keadaan saya percaya dan yakin dengan ‘jalan cerita’Nya yang penuh hikmah.
Bahkan keputusan saya untuk menjadi Sales Enginner juga disebabkan saya suka untuk memberi talk dan user training kepada clients. Ketika kerja makan gaji sebagai Sales Engineer atau Business Executive, saya langsung tak berminat untuk mengejar sales performance yang dinilai setiap hari oleh supervisor. Saya boleh bersembang berjam-jam bersama clients tanpa bercerita soal harga dan jualan. 70% perbualan saya bercerita tentang pengetahuan dan kehidupan. Serba salah juga saya dibuatnya. Bekerja dengan hati yang separuh-separuh. Tidak sepenuh hati.

Program-program pengisian- kursus, motivasi, latihan dan seumpamanya ialah aktiviti kegemaran saya sejak di zaman kampus. Dengan penglibatan aktif dalam beberapa persatuan dan NGO, terlalu banyak jalan mudah untuk menjana wang dan idea ketika masih memegang status mahasiswa. Terlalu besar ruang untuk kita sendiri berfikir untuk mengisi dada-dada muslim dengan pengisian membangun jiwa. Saya berfikir, sudah tentu ini lebih seronok. Melibatkan diri dalam dunia consultancy merupakan alternatif yang baik untuk proses intregasi kebolehan setelah menjauhi usia kampus. Saya mula meninjau peluang-peluang yang ada.

Program Motivasi Al-Quran anjuran Infitah Training & Consultancy. Pada hari pertama program, saya diberi amanah untuk menjadi ketua fasilitator (5-9 Disember 2011)

Minat saya terlalu berbagai. Ringkasnya, minat saya dalam melukis kartun, capability untuk membuat sales, dan gemar dunia mensyarah boleh di’zip file’kan dalam dunia consultancy. Menjadi pensyarah di alam selain universiti, menjadi kartunis bukan semestinya dalam dunia majalah, dan menjadi business executive tanpa bekerja dalam suasana yang penuh ‘KPI’. Saya percaya, peluang yang ada lebih dari itu. Saya temui satu demi satu. Untuk yang pertama, saya bersama team Infitah Training & Consultancy untuk membantu mereka mengembangkan dunia pendidikan dan dakwah Islam. Mereka ada cara mereka sendiri. Namun, saya selesa dan serasi dengan idea dan konsep yang dikongsi. Mudah-mudahan, Brotherhood Academy dapat berjalan seiring dengan nada kerjasama.